ANGGOTA APM menangkap tedung selar sepanjang 2.5 meter di rumah penduduk di Kampung Kemuning, semalam.
ANGGOTA APM menangkap tedung selar sepanjang 2.5 meter di rumah penduduk di Kampung Kemuning, semalam.
HM Digital

Alor Gajah: Mungkin anda biasa mendengar frasa popular Ulau Melingkau atas Pagau tetapi yang ini lain pula, Ulau Melingkau bawah rak pinggan.

Itulah kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Kampung Kemuning di sini, awal pagi semalam hingga memaksa penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Alor Gajah bagi mendapatkan bantuan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata, pengadu yang juga pemilik rumah menghubungi talian kecemasan meminta bantuan menangkap ular , jam 6.40 pagi sebaik menyedari reptilia sebesar tayar motosikal itu , di bawah rak pinggan.

Katanya, rumah itu didiami pasangan suami isteri dan kejadian disedari isteri pengadu yang kebetulan melihat lingkaran seperti ular di bawah rak pinggan ketika ke bilik air.

“Pasukan tiga anggota APM dikejarkan ke lokasi kejadian dan mereka tiba di rumah pengadu.

“Sejurus tiba, anggota mengesahkan ular yang melingkar di bawah rak pinggan itu ular tedung selar,” katanya.

Beliau berkata, anggotanya mengambil tempoh 20 minit untuk menangkap ular sepanjang 2.5 meter itu.

“Anggota kita menangkap reptilia itu menggunakan penjerut ular, bagaimanapun sedikit sukar menangkap kerana ular ini terlalu besar ditambah pula ruang dapur yang dipenuhi barang,” katanya.

Mohammad Fairul berkata, ular itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 10:59 AM