Skip this ad x
AGENSI Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan beberapa penagih dadah dalam satu serbuan di Mengkabong, hari ini. FOTO Ihsan AADK
Junaidi Ladjana


ISTERI terkejut apabila bukan sahaja anak perempuannya ditahan kerana menagih dadah, malah suaminya turut dicekup dalam serbuan di rumah mereka di kampung di Mengkabong, di Tuaran, hari ini.

Dalam Op Cegah selama empat jam bermula 12 tengah malam hingga 5 pagi itu, pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tuaran menahan wanita berusia 22 tahun kerana menagih dan disyaki mengedar dadah.

Penahanan wanita itu membongkar kegiatan bapanya berusia 55 tahun yang juga menghisap syabu.

Berikutan itu, dua beranak berkenaan ditahan selepas kedua-duanya didapati positif dadah.

Ketika lelaki itu ditahan, isterinya cuba menghalang dan menangis kerana tidak menyangka suaminya turut menagih dadah.

Ketua Pegawai AADK Tuaran, Asraf Hafiz Ruslan berkata, ketika pemeriksaan di rumah itu, pihaknya menemui peralatan disyaki untuk menghisap syabu.

“Ketika operasi itu, bapa wanita itu dalam keadaan mencurigakan dan soal siasat mendapati bapanya turut menagih syabu dan baru sahaja menghisapnya, manakala anaknya mengambilnya tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Asraf Hafiz berkata, operasi itu turut dijalankan di dua lagi kampung di daerah ini dan menahan dua lelaki disyaki penagih.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

Sementara itu, Asraf Hafiz berkata, pihak AADK Tuaran akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penagihan dadah.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Tuaran ditalian 088-788336 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 11:57 AM