Daripada Najmuddin Najib


TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia komited untuk mengurangkan kerenah birokrasi di kawasan bersempadanan Thailand sebagai langkah yang berupaya meningkatkan dagangan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Thailand boleh mewujudkan hubungan dagang lebih baik jika masalah birokrasi diselesaikan.

“Kita mempunyai empat sempadan Thailand-Malaysia iaitu dua di Kelantan, satu di Kedah dan satu lagi di Perlis.

“Selain itu, Langkawi dan Satun, Thailand turut mempunyai hubungan rapat dan saling menerima kunjungan pelawat.

“Kerjasama seperti ini boleh meningkatkan kemakmuran kedua-dua negara kerana perdagangan dengan sendirinya menjana kekayaan. Kita mesti saling membantu dalam aspek perniagaan, terutama rentas sempadan,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha, malam ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menghadiri mesyuarat bilateral tertutup di Rumah Kerajaan di Bangkok.

Dr Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari ke Bangkok.

Perdana Menteri berkata, Malaysia akan memastikan pusat pemeriksaan di Bukit Kayu Hitam dibuka 24 jam bagi memudahkan pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan Thailand.

“Kita akan memastikan pintu sempadan dibuka 24 jam di kedua-dua negara,” katanya.

Katanya, Malaysia akan membina dua jambatan di Tak Bai di Pengkalan Kubor dan Sungai Golok di Rantau Panjang, bagi memudahkan perjalanan penduduk kedua-dua negara, sekali gus memperluaskan dagangan rentas sempadan.

“Memang ada beberapa masalah seperti jajaran jalan raya, tetapi ini boleh diselesaikan antara kedua-dua negara,” katanya.

Menyentuh masalah seperti dua kerakyatan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia, Dr Mahathir berkata, lebih tumpuan perlu diberi terhadap kawasan rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 9:46 PM
DR Mahathir diiringi Prayut memeriksa perbarisan kehormat sempena lawatan rasmi beliau ke Thailand di Rumah Kerajaan di Bangkok, hari ini. Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand sejak menjadi perdana menteri untuk kali kedua. FOTO Bernama.