GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Husni Mohd Noor


SEORANG wanita maut manakala dua individu lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Salak- Jenderam dekat Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, wanita berusia 50 tahun yang juga pemandu MPV Toyota Innova meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang penumpang Innova dan seorang wanita yang juga pemandu MPV Toyota Avanza mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk proses bedah siasat manakala mangsa cedera turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati MPV dipandu si mati dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi MPV.

“Kemalangan berlaku di jalan lurus dan mendaki.

“Kedua-dua kenderaan rosak teruk terutama di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 10:28 PM