MARZUKI (kanan) berbual dengan peserta selepas merasmikan majlis penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2018/2019 Peringkat Negeri Terengganu di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Chukai, semalam. FOTO Rosli Ilham.


SERAMAI 60,000 kakitangan awam termasuk guru akan dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di Terengganu.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Marzuki Endut berkata, daripada jumlah itu seramai 12,000 adalah kakitangan kerajaan negeri manakala selebihnya kakitangan persekutuan.

“Apabila diisytihar bencana, kami akan kerah semua kakitangan ini dan agihkan tugas bersesuaian untuk mereka.

“Persediaan menghadapi banjir berada di peringkat akhir dan penghantaran bantuan kepada 142 pangkalan hadapan di seluruh negeri sudah dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Latihan Persediaan Menghadapi Bencana Banjir Monsun Timur Laut 2018/2019 Peringkat Negeri Terengganu di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Chukai, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Zakaria Shaaban; Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Azizan Abu Tahar dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman.

Marzuki berkata, mesyuarat induk bersama NADMA sudah diadakan dan Terengganu adalah negeri paling awal berbuat demikian.

“Latihan persediaan menghadapi bencana ini pula adalah persediaan akhir di peringkat jabatan membabitkan 250 kakitangan yang bertanggung jawab dalam pengurusan bencana termasuk APM, polis dan Pejabat Daerah.

“Taklimat turut diberi kepada ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan yang masih belum berbuat demikian akan kita selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 12:13 AM