PEGUAM Datuk Dr Cyrus Das mendengar penerangan dari Latheefa Koya berkaitan kes kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia tetapi tidak boleh diberi kewarganegaraan di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan


MAHKAMAH Persekutuan hari ini diberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan status kewarganegaraan kepada seorang remaja dan seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia, namun tidak boleh diberi status kewarganegaan sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan di hadapan panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Ia adalah antara lima kes permohonan taraf kewarganegaraan oleh kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia, namun tidak boleh diberi status kewarganegaan yang didengar di mahkamah tertinggi itu hari ini.

Peguam Latheefa Koya berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang dijadikan anak angkat oleh pasangan warganegara Malaysia, menerima surat kelulusan status kewarganegaraan di bawah Perkara 15 A Perlembagaan Persekutuan daripada KDN, hari ini.

Perkara 15A memperuntukkan kuasa khas untuk mendaftarkan kanak-kanak di mana Kerajaan Persekutuan boleh dalam apa-apa hal keadaan yang difikirkannya patut menyebabkan mana-mana orang di bawah usia 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.

Latheefa berkata, bagi satu lagi kes anak guamnya membabitkan kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di mana bapanya adalah warganegara Malaysia dan ibunya adalah warganegara Thailand, pihaknya perlu mengemukakan permohonan baharu di bawah Perkara 15A dan menyatakan bahawa ibu kanak-kanak itu tidak tinggal di negara ini.

Mahkamah Rayuan pada tahun lalu menolak rayuan mereka berhubung permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan selepas memutuskan mereka seharusnya mengemukakan bukti bahawa mereka bukanlah warga bagi negara lain.

Sementara itu, bagi kes kelulusan kewarganegaraan membabitkan kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun yang mana bapanya adalah warganegara Malaysia, manakala ibunya warganegara Papua New Guinea, kerajaan menarik balik rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memberikan taraf kewarganegara kepada kanak-kanak itu.

Kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, manakala kanak-kanak berkenaan diwakili peguam, Ranee Sreedharan.

Bagi dua lagi kes, mahkamah menetapkan 26 November ini untuk ibu bapa remaja berusia 17 dan 18 tahun itu memaklumkan mahkamah mengenai keputusan KDN berhubung permohonan baharu yang akan dibuat di bawah Perkara 15A, Isnin ini.

Ibu bapa kandung kedua-dua mereka tidak diketahui dan mereka diambil sebagai anak angkat oleh dua pasangan rakyat Malaysia.

Pada Julai lalu, Malanjum mencadangkan penubuhan panel sembilan hakim untuk mendengar kes perlembagaan dan panel tujuh hakim bagi kes yang membabitkan kepentingan awam.

Sebelum ini, hanya panel tujuh anggota yang dibentuk untuk mendengar kes di Mahkamah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 3:09 PM