OMAR (tengah) bersama Mohd Haris dan pegawai serta anggota polis di IPD Penampang bergambar bersama pada program lawatan kerja beliau, semalam. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana


USAHA membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen khususnya di daerah Penampang akan terus dipergiatkan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Beliau berkata, dari tempoh Januari hingga kini, sebanyak 73 serbuan dijalankan di Penampang dan 41 kes bersamaan 56.16 peratus sudah dituduh di mahkamah.

“Usaha membanteras ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. Begitu juga dengan jenayah lain di daerah ini,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Omar berkata, IPD Penampang menunjukkan prestasi baik kerana indeks kes jenayah dilaporkan bermula Januari lalu sehingga semalam menunjukkan penurunan 33 kes berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah itu bersamaan 6.6 peratus daripada 495 kes pada 2017 kepada 462 kes tahun ini.

“Begitu juga dengan penyelesaian kes, sebanyak 320 kes berjaya diselesaikan daripada 462 bagi Januari 2018 hingga semalam.

“Pencapaian penyelesaian kes agak tinggi dan saya ucapkan tahniah kepada IPD Penampang dan diharapkan dapat meneruskan usaha membanteras dan mengurangkan kadar jenayah supaya masyarakat sekeliling berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 10:42 PM