Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


KES jenayah yang membabitkan remaja bawah umur di Kelantan amat membimbangkan dengan kebanyakannya terbabit dengan pengambilan pil kuda.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, statistik sehingga September tahun ini menunjukkan seramai 546 kes remaja terbabit jenayah.

Katanya, tahun lalu sebanyak 670 kes remaja terbabit jenayah berbanding tahun sebelumnya 567 kes yang membabitkan remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun.

“Peningkatan itu amat membimbangkan kerana sebahagian kes dicatatkan mereka terbabit dengan pengambilan pil kuda kerana Kelantan berdekatan sempadan negara jiran dan bekalannya mudah didapati.

“Ada juga dalam kalangan mereka terbabit dengan kes kecurian.

“Banyak faktor yang mendorong remaja ini melakukan jenayah antaranya pengaruh rakan, ibu bapa sibuk dan kurang perhatian keluarga,” katanya ketika ditemui di Majlis Mesra Media, di Kota Bharu.

Beliau berkata, bagi membendung masalah itu, JKM bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan pihak sekolah menganjurkan program ceramah kesedaran.

“Kaunselor bertauliah akan memberi ceramah kepada remaja supaya mereka tidak terbabit dengan gejala tidak sihat terutama jenayah.

“Selain itu, kita mahu masyarakat dan ibu bapa mengambil berat masalah yang dihadapi anak mereka supaya golongan remaja ini tidak terbabit dengan jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:02 AM