X
NOOR’ Asikin (tiga kanan) menyampaikan bantuan  kepada Maimunah (kanan) sambil diperhatikan Azwanee (dua kanan) di Klebang.
NOOR’ Asikin (tiga kanan) menyampaikan bantuan kepada Maimunah (kanan) sambil diperhatikan Azwanee (dua kanan) di Klebang.
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Hasrat sebuah pasar raya menghulurkan bantuan keperluan harian kepada seorang pesakit tidak kesampaian apabila menerima perkhabaran lelaki itu meninggal dunia.

Syed Azman Syed Ahmad Badari, 32, yang terlantar akibat kemalangan jalan raya sejak tahun lalu meninggal dunia Jumaat lalu.

Isteri Allahyarham Syed Azman, Azwanee Azhar, 28, berkata, suaminya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh am meninggal dunia di Hospital Melaka selepas empat hari dibawa pasukan perubatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ke hospital itu.

“Keadaan arwah suami semakin teruk apabila belakang dan bahagian punggungnya melecet hingga pasukan perubatan datang melakukan pemeriksaan dan memutuskan menghantarnya untuk rawatan susulan di Hospital Melaka.

“Empat hari sahaja arwah bermalam di hospital sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia jam 1.21 tengah hari, Jumaat lalu,” katanya yang ditemui di rumah ibu mentuanya di Taman Mayfair, di sini, semalam.

Azwanee berkata, sejak suaminya kemalangan 26 November tahun lalu, hanya sekali dia mendengar suaminya bersuara bertanyakan mengenai anak lelaki tunggalnya, Syed Muhammad Eijaz yang kini berusia dua tahun.

“Selebihnya sukar untuk memahami percakapan arwah, suara tidak keluar dan sekadar gerak bibir yang terketar-ketar.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu termasuk adik beradik, saudara mara, wakil rakyat, orang kampung serta jururawat,” katanya.

Tambah pilu, katanya Syed Muhammad Eijaz seolah-olah memahami pemergian bapanya apabila mengucapkan ‘selamat tinggal ayah’ ketika jenazah Syed Azman diusung pergi.

“Sepanjang suami terlantar, saya tetap berkerja sebagai operator pengeluaran di kilang dan sering tidak cukup wang. Pernah saya minta kakak belikan susu untuk arwah, malah keluarga berusaha memohon bantuan daripada wakil rakyat.

“Saya juga pernah ke klinik kesihatan semata-mata untuk mendapatkan kelengkapan percuma peralatan dressing luka arwah kerana kehabisan wang. Anak pula, saya serahkan kepada bapa saudara untuk ditanggung,” katanya.

Harian Metro pada 8 Oktober lalu melaporkan Syed Azman terlantar selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari membabitkan kenderaan tidak dikenal pasti dalam kejadian kemalangan 26 November tahun lalu di Taman Mayfair, Klebang, Melaka.

Sementara Ibu Allahyarham, Maimunah Md Don, 64, berkata, ketiadaan anak sulung daripada empat beradik itu menyebabkan hatinya tidak tenteram.

“Sayalah yang menjaganya. Bertambah rasa kehilangan seorang anak apabila saya mendukung cucu (anak Syed Azman)...itu sahaja kenangan yang dia (Syed Azman) tinggalkan kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, wakil pasar raya Econsave Malim, Noor’ Asikin Ali berkata, pasar raya sebelum ini meluluskan peruntukan RM1,000 untuk barangan keperluan Syed Azman seperti lampin pakai buang, susu dan keperluan lain.

“Bagaimanapun, sebaik mengetahui Syed Azman sudah tiada, kita tetap menghulurkan sumbangan dalam bentuk keperluan harian keluarga, susu anak dan barangan untuk majlis kenduri tahlil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 10:49 AM