JALAN ke Pos Simpor rosak teruk kerana musim hujan sejak empat bulan lalu, menyebabkan penduduk orang Asli terputus hubungan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


LEBIH 3,000 penduduk Orang Asli di lebih 40 kampung sekitar enam pos di pedalaman Gua Musang terputus hubungan selepas jalan ke kampung mereka rosak teruk akibat hujan sejak empat bulan lalu.

Jalan itu menghubungkan ke Pos Tohoi, Bihai, Simpor, Balar, Hau dan Gob.

Situasi itu menyebabkan laluan itu tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan termasuk pacuan empat roda, sekali gus menjejaskan pendapatan masyarakat Orang Asli untuk mencari hasil hutan.

Pada masa sama, penduduk bimbang dengan keselamatan anak mereka yang berulang alik ke sekolah melalui jalan berselut dan berlubang itu.

Penduduk Orang Asli di Pos Simpor, Ramon Akik, 41, berkata, masalah jalan rosak di perkampungan Orang Asli itu menjejaskan kehidupan harian termasuk untuk keluar membeli barang keperluan di bandar ini kerana purata penduduk hanya menggunakan motosikal.

“Sebelum ini ada pihak tertentu dan penduduk sendiri membaiki jalan terbabit, namun ia kembali rosak apabila kawasan itu dilanda hujan berterusan.

“Kami sendiri tidak tahu bila masalah ini dapat diselesaikan sepenuhnya. Kini kami lebih bimbang keadaan mungkin menjadi lebih teruk ketika musim tengkujuh ini,” katanya.

Sudi Angah, 39, dari Pos Balar pula berkata, kerajaan sebelum ini pernah berjanji untuk menurap semua jalan ke perkampungan Orang Asli, namun mungkin tertangguh berikutan pertukaran kerajaan baharu.

“Penduduk masih mengharapkan kerajaan sekarang dapat membina jalan perhubungan yang sempurna,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 11:47 AM