RAJA Rasiah memberi susu khas kepada Mohd Amier Firdaus, yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat kemalangan ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batang Merbau, Tanah Merah. FOTO ihsan keluarga.
Nor Fazlina Abdul Rahim


SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itu yang dilalui Raja Rasiah Raja Ibrahim sekeluarga selepas anak keduanya, Mohd Amier Firdaus, 18, terlantar dalam keadaan separuh sedar sejak tiga tahun lalu, akibat kemalangan jalan raya.

Sepanjang tempoh berkenaan, Raja Rasiah, 47, menyifatkan kehidupan mereka berubah 100 peratus dan pelbagai dugaan terpaksa dilalui mereka sekeluarga termasuk dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

Menurutnya, perbelanjaan anak kedua daripada empat beradik itu sahaja hampir RM2,000 sebulan menyebabkan kehidupan mereka agak tertekan kerana bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan tidak mencukupi.

Katanya, bukan sahaja Mohd Amier yang terlantar sakit, dia sendiri menghidap penyakit jantung dan darah tinggi, manakala suami, Mohd Hijazi Ismail, 55, pula tidak mampu bekerja kuat akibat penyakit kencing manis kronik.

“Saya sedih kerana ada ketikanya kami tidak mampu membeli susu khas berharga RM87 satu tin untuk Mohd Amier kerana masalah kewangan dan saya menggantikannya dengan air masakan nasi (air yang menggelegak ketika memasak nasi) dengan harapan mampu memberi tenaga.

“Biarpun menyedari air masakan nasi mungkin tidak baik untuk kesihatan Mohd Amier, namun saya terpaksa. Saya cuba menukar susu biasa untuk menjimatkan kos, namun badan anak saya tidak boleh terima dan keadaannya menjadi lesu.

“Doktor memaklumkan peluang untuk Mohd Amier kembali pulih agak tipis dan walaupun diuji masalah kewangan, saya kuatkan semangat dan menjaga anak dengan penuh kasih sayang,” katanya yang tinggal di Kampung Batang Merbau, Tanah Merah.

Raja Rasiah berkata, akibat masalah kewangan dialami menyebabkan dua adik Mohd Amier iaitu Putri Amiera Nurfarisya, 16, dan Putri Amiera Nurfatiha, 13, yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2, terpaksa ke sekolah bergilir-gilir kerana tidak mampu membayar tambang van RM4 seorang.

“Begitulah situasi kami alami, jika duit mencukupi, kedua-dua mereka mampu pergi ke sekolah dan jika sebaliknya hari ini mungkin adik sahaja ke sekolah, manakala esok kakak pula.

“Bukan saya tidak berusaha mencari wang, saya sebelum ini membuat kuih dan hantar ke kedai namun tidak mendapat sambutan. Sehingga kini saya masih membuat kuih sekiranya ada tempahan.

“Ada ketikanya saya terpaksa berhutang dengan saudara mara kerana keadaan terdesak. Saya berdoa supaya mampu meneruskan kehidupan dengan baik demi Mohd Amier,” katanya sambil menahan sebak.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17924802 atau menerusi akaun Bank Rakyat 221191118221 (Raja Rasiah Raja Ibrahim).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 3:38 PM