GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


PADAH bermain cinta dengan isteri orang, seorang lelaki berusia 26 tahun maut dipukul sekumpulan lelaki di Senggarang, Batu Pahat, Selasa lalu.

Dalam kejadian antara 9 hingga 10 malam itu, mangsa pada mulanya cedera parah dan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Malangnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 5.15 petang keesokan harinya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim, berkata hasil siasatan awal, mangsa dipercayai dilarikan dan dipukul sekumpulan lelaki selepas salah seorang suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan sulit dengan isterinya.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, tangkapan pertama dilakukan ke atas dua wanita termasuk isteri kepada suspek utama berusia 38 tahun dan rakannya berusia 36 tahun, kelmarin.

“Kedua-dua wanita itu ditahan reman sehingga Rabu ini.

“Hasil soal siasat membawa kepada penahanan tujuh lelaki yang melarikan mangsa dari sebuah pusat hiburan di Batu Pahat dan membawa serta memukul mangsa di satu tempat di Senggarang,” katanya dalam kenyataan akhbar, hari ini.

Azhan berkata, selain itu polis menahan seorang lagi wanita bagi membantu siasatan.

Katanya, semua lapan suspek berusia 24 hingga 38 tahun itu ditahan di Tangkak dan sekitar daerah ini, semalam.

“Lapan tangkapan terbaru termasuk suspek utama berusia 34 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Penahanan semua 10 suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 2:54 PM