KEADAAN kereta dan lori berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI maut, manakala rakannya cedera apabila kereta mereka naiki merempuh sebuah lori yang diparkir di lorong kecemasan di Kilometer 218 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Taiping, hari ini.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Proton Saga itu turut terbakar namun kedua-dua mangsa sempat dibawa keluar oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 3.50 petang.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu dari Kuala Lumpur menghala Pulau Pinang dan dikatakan merempuh bahagian belakang lori membawa muatan dedak ayam yang berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan.

“Pemandu, Toh Kar How, 27, yang dikeluarkan oleh orang awam disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala kenderaan mangsa yang melekat di bahagian belakang lori itu hangus sepenuhnya.

“Penumpang wanita berusia 30 tahun yang juga berjaya dikeluarkan orang awam hanya cedera ringan,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafaeel Hairul Richard berkata, pihaknya membantu memadamkan kebakaran kenderaan.

“Kenderaan mangsa mengalami kebakaran 90 peratus, manakala lori muatan dedak terbakar hanya 20 peratus sahaja,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 6:22 PM