Zahratulhayat Mat Arif

CADANGAN supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar adalah tidak sesuai buat masa ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Kita sudah banyak sangat unit. Bila banyak sangat unit, ia membabitkan peruntukan kewangan berikutan penambahan pegawai dan anggota.

“Saya rasa cadangan ini tidak sesuai ketika ini melihat kepada kewangan negara. Walau bagaimanapun, idea itu bagus dan kerajaan perlu mengambil kira untuk melaksanakan cadangan yang dibuat oleh pihak luar,” katanya.

Mohamad Fuzi bercakap kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa International Practical Shooting Confederation (IPSC) Piala Ketua Polis Negara di Markas Briged Utara Ulu Kinta, hari ini.

Beliau mengulas saranan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) yang mahu PDRM menubuhkan jabatan khas untuk membanteras jenayah berkaitan alam sekitar khususnya membabitkan kecurian dan kemusnahan alam di seluruh negara yang semakin menjadi-jadi.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dalam kenyataan media hari ini berkata, pembabitan aktif dan agresif PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan lain mampu membantu kerajaan menangani isu berkaitan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berharap kerajaan dapat meluluskan permohonan PDRM untuk menambah keanggotaan Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando VAT 69 (VAT69).

“Sekarang kita ada lebih 600 anggota bagi pasukan VAT69 dan bercadang untuk menambah kepada 992 anggota manakala UTK ada lebih 340 anggota dan harap dapat menambah kepada lebih 800 anggota.

“Kita harap pihak kerajaan dapat beri pertimbangan sewajarnya kerana pasukan elit ini amat diperlukan dalam negara terutama dalam keadaan kritikal atau krisis,” katanya.

Pada Mac lalu, Mohamad Fuzi berkata permohonan itu mendapat kelulusan Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjadi Perdana Menteri, dan kertas dasar penambahan berhubung perkara itu telah dihantar kepada agensi pusat dan dalam pertimbangan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, untuk permohonan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 10:23 PM
MOHAMAD Fuzi (dua kanan) merasmikan penutupan Kejohanan Menembak Persekutuan Antarabangsa International Practical Shooting Confederation (IPSC) Piala Ketua Polis Negara di Markas Briged Utara Ulu Kinta. FOTO L Manimaran