SUSPEK yang ditahan kerana didakwa membelasah isterinya. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


HANYA kerana menegur suaminya menghisap dadah jenis syabu menyebabkan seorang wanita lebam di muka dan kepala akibat dibelasah lelaki itu yang mengamuk di kediaman mereka di Taman Angsana, Kulim, semalam.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, 20-an, dikatakan bertengkar dengan suaminya, 28, selepas suspek menghisap dadah di dalam bilik tidur mereka.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pertengkaran itu bertukar menjadi ganas apabila suspek bertindak menumbuk muka mangsa beberapa kali dan menolak kepalanya sehingga terhantuk di dinding.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan dan bimbang dengan keselamatan diri kemudian keluar dari rumah itu serta berlindung di rumah ibu mentuanya di Sungai Limau, Lunas, Kulim.

“Malah, mangsa turut diugut akan dipukul lebih teruk jika masih mengambil tahu hal peribadi suspek.

“Bimbang dengan ugutan suspek, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, susulan laporan diterima itu, pihaknya mengesan suspek sebelum menahan di kediamannya jam 11 malam.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di mana siasatan awal dia mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Siasatan kes akan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 10:13 AM