ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan ketika serbuan di sebuah rumah.
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang wanita tergamam apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak lelakinya berusia 18 tahun ditahan selepas didapati menagih dadah.

Remaja lelaki terbabit antara lima individu ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sebuah rumah sewa di Taman Maluri di sini, Khamis lalu.

Serbuan jam 11 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa AADK Daerah Cheras selepas menerima maklumat orang awam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Cheras Mohd Ridwan Mohd Rozmi berkata, remaja itu ditahan ketika berada dalam bilik sewa rumah berkenaan.

“Ketika serbuan, dia bersama rakan lelaki serta seorang wanita dipercayai teman wanitanya.

“Hasil ujian awal saringan air kencing terhadap kelima-lima lelaki terbabit didapati positif dadah jenis ganja dan Methamphetamine.

“Bagaimanapun, teman wanitanya yang mengandung tiga bulan didapati negatif ujian saringan dadah,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menghubungi keluarga remaja lelaki itu memaklumkan penahanannya.

“Ibunya memaklumkan dia sangat terkejut dan tidak menyangka anak lelakinya itu menagih dadah.

“Difahamkan, ibu remaja lelaki terbabit tidak mengetahui aktiviti anaknya yang banyak menghabiskan masa di rumah sewa berkenaan,” katanya.

Katanya, dia berharap ibu bapa memantau dan mengambil berat mengenai pergerakan anak masing-masing bagi mengelak terbabit aktiviti serta gejala tidak sihat.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983/98,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 11:31 AM