FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Audrey Dermawan


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini, mendedahkan populasi komuniti gay dan transgender di negara ini semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu.

Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, statistik terbabit direkodkan melalui pelbagai sumber dengan hasilnya menunjukkan peningkatan trend membimbangkan.

Katanya, kebanyakan komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bermula sejak mereka di sekolah berasrama, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 12 hingga 15 tahun kerana belum matang dan tak dapat membezakan jenis sentuhan ke atas mereka.

“Dalam beberapa kes, mereka (kanak-kanak dan remaja lelaki) diliwat pelajar senior ketika berada di sekolah berasrama, sekali gus mengakibatkan wujudnya faktor ketagihan kepada seks sejenis dan bertukar menjadi seorang gay.

“Oleh itu, saya berpandangan sekolah berasrama ini lebih sesuai bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5, bagaimanapun ia hanya pandangan peribadi yang boleh dibincangkan lebih lanjut.

“Pihak berkenaan dipelawa untuk membincangkan cadangan pengenalan sekolah berasrama hanya kepada pelajar Tingkatan 4 dan 5 dengan Jabatan Perdana Menteri sebagai pengerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Georgetown, hari ini.

JAKIM mendedahkan populasi komuniti gay direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun ini, berbanding 173,000 (2013).

Manakala, golongan transgender pula merekodkan peningkatan kepada 30,000 individu pada tahun ini, berbanding seramai 10,000 pada 1988 lalu.

Mohd Izwan berkata, terdapat faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan populasi komuniti LGBT, termasuklah kemudahan media sosial yang membolehkan perbincangan mengenainya mudah diakses golongan muda.

“Ia memerlukan pengawasan ketat daripada pihak keluarga. Dahulu, kita hanya runsing apabila anak bermain di luar tetapi kini kita lebih risau jika mereka hanya berkurung di dalam bilik sahaja.

“Faktor lain yang turut menyumbang ialah pola penjagaan bayi, sama ada dalam keluarga yang memberi perlindungan berlebihan, kekurangan kasih sayang atau yatim piatu, selain gejala buli dan ejekan dengan jolokan ‘lembut’ atau ‘sotong’, pornografi dan persekitaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JAKIM berjaya membawa 1,450 komuniti LGBT ‘pulang ke jalan benar’ melalui program ‘mukhayyam’, selain akan terus membantu golongan terbabit.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, kerajaan negeri tetap dengan pendirian tidak menyokong komuniti LGBT, bagaimanapun menghormati hak mereka untuk tampil berlainan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah menekankan Malaysia tak menerima budaya LGBT dan perkahwinan sama jantina walaupun ia dianggap sebagai hak asasi manusia di Barat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 4:29 PM