GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rohaniza Idris


TUJUH cabang PKR yang bermasalah dalam pemilihan parti itu akan mengadakan semula pengundian pada 11 November ini di kawasan masing-masing.

Tujuh cabang itu, Kuala Selangor, Selangor; Jelebu, Negeri Sembilan;Alor Gajah, Masjid Tanah, Tangga Batu, Kota Melaka dan Jasin di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Rashid Din berkata, bagi Kuala Selangor dan Jelebu, pemilihan baharu diadakan semula manakala di Melaka hanya mereka yang belum mengundi dipanggil semula membuat pemilihan.

Katanya, JPP kini membuat pelbagai persiapan bagi memastikan tidak berlaku lagi masalah pada pemilihan itu nanti.

"Banyak yang kami belajar daripada lebih 12 pemilihan negeri yang sudah berlangsung dan setiap kelemahan kami cuba perbetulkan. Kami belajar daripada kesilapan," katanya dihubungi,hari ini.

Dalam perkembangan di Kuala Selangor yang dikatakan disabotaj apabila ada pihak memasang alat bagi menghalang capaian isyarat Internet atau ‘jammer’, katanya pihaknya kesal perkara itu berlaku dan menasihatkan anggota parti tidak terbabit dengan kes berkenaan.

Katanya, polis masih menyiasat perkara itu dan jika terbukti sabotaj itu dilakukan anggota parti maka mereka boleh dikenakan tindakan disiplin.

"Berdasarkan kes di Kuala Selangor itu, kami tidak menolak kemungkinan beberapa kes internet bermasalah di tempat pengundian pemilihan parti di tempat lain berkaitan dengan masalah yang sama, ada pihak meletakkan ‘jammer’ ini

"Untuk pemilihan di tujuh lagi cabang nanti, kami akan pastikan tiada lagi ‘jammer’ ini dipasang," katanya.

Beliau juga mendedahkan beberapa taktik kotor lain juga dilakukan anggota parti seperti menggunakan semula kod Quick Response (QR) untuk pemilihan di cabang Ampang dan Pandan tetapi berjaya dikesan dan anggota berkenaan tidak dibenarkan mengundi .

Mengulas mengenai pengundian di Sabah dan Sarawak, katanya ia akan diteruskan seperti tarikh dan waktu yang sudah ditetapkan iaitu di Sabah pada 3 dan 4 November ini manakala di Sarawak pada 10 November.

Katanya, pemilihan di Sarawak membabitkan 29 cabang manakala di Sabah diadakan dua hari iaitu 12 cabang daripada 25 diadakan pada 3 November manakala bakinya pada 4 November.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 9:04 PM