Baharom Bakar


BERMULA hanya menjual ketupat palas di gerai di bahu jalan bagi membantu menambah pendapatan keluarga selepas suami terbabit kemalangan, Norhashimah Abd Ghani, kini berbangga apabila makanan tradisional diusahakannya itu berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Ketupat palas diusahakan Norhashimah, 33, dan suaminya, Mohd Faizu Enet Ghani, 34, pernah dijual lebih enam bulan di sebuah kafe dimiliki rakannya di Perth, Australia, tahun lalu.

Bermula dengan hanya menghasilkan ketupat palas lemak manis, produk dijual Norhashimah dan Mohd Faizu kini lebih variasi dengan pilihan ketupat berintikan sambal daging, sambal ikan, jagung dan kacang selain ketupat palas pulut hitam.

Kejayaan mencipta pelbagai jenis ketupat berinti oleh pasangan itu mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) apabila pasangan suami isteri itu dipilih menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Antarabangsa (MAHA 2018) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, selama 11 hari bermula 22 November ini.

Norhashimah berkata, pelbagai kesukaran dan kepayahan terpaksa ditempuhi dalam mengusahakan perniagaan berasaskan makanan tradisional terutama apabila lebih 50 kilogram pulut dimasak untuk membuat ketupat tidak menjadi.

Berkat kesabaran dan tidak putus asa serta dorongan Mohd Faizu yang berperanan sebagai pengurus Hulwah Frozen Food serta ahli keluarga, pendapatan diperoleh hasil jualan ketupat palas pelbagai inti meningkat dari RM2,000 kepada RM7,000 sebulan.

Kegigihan Norhashimah dan Mohd Faizu yang mempunyai tiga anak berusia antara lima hingga sembilan tahun itu mendapat perhatian SME Corps, apabila meluluskan geran bernilai RM50,000 untuk pasangan itu membuka kilang di Kompleks Usahawan Terengganu (KUT), Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Kampung Kubang Jela, Manir, pada 2016.

“Ketupat palas pelbagai inti ini mendapat permintaan pemilik pasar raya yang memiliki gedung terbesar di negara ini, tetapi permintaan itu terpaksa ditangguhkan kerana kami sedang menunggu kelulusan sijil halal dan Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi membolehkan produk memenuhi syarat untuk menembusi pasaran luar negara.

“Sejak beroperasi di bengkel di KUT, kami berjaya mengeluarkan ketupat palas pelbagai inti antara 3,000 dan 5,000 biji sehari dengan pembungkusan bersih dan memenuhi piawaian pasaran,” katanya yang berterima kasih kepada SME Corps dan YPU kerana menyediakan premis untuk operasi kilang.

Norhasimah turut mendapat bantuan MARA untuk mendapatkan fakta nutrisi dan kod bar serta Jabatan Pembangunan Wanita dan mendapat tempahan daripada usahawan di Singapura.

Beliau berkata, sebanyak 20,000 hingga 50,000 biji ketupat disediakan untuk MAHA 2018 nanti.

“Kami bertekad untuk terus menggunakan daun palas sebagai pembungkus, walaupun pernah dicadangkan MARDI menggunakan plastik khas terutama untuk pasaran antarabangsa selain di pasar raya.

“Penggunaan daun palas perlu bagi mengekalkan keaslian ketupat dan kami tidak akan menggunakan bahan lain seperti dicadangkan MARDI,” katanya mengakui ketupat yang disejuk beku dihasilkan mampu bertahan selama enam bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 12:22 AM
MOHD Faizu bersama Norhasimah menunjukkan sebahagian daripada enam jenis ketupat palas dihasilkan di bengkel mereka di Kompleks Usahawan Terengganu, Manir. FOTO Rozainah Zakaria.