Zanariah Abd Mutalib dan Hashini Kavishtri Kannan

Putrajaya: Dalam usaha memartabatkan kerjaya guru, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap bajet 2019 dapat menambah lebih kemudahan dan peruntukan tambahan.

Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak berkata, bonus perlu diberikan kepada guru sebagai motivasi buat mereka.

“Bonus tidak semestinya banyak, dapat kenaikan gaji tahunan (KGT) pun sudah berbaloi untuk mereka.

“Cabaran kerja yang mereka hadapi sekarang berganda dan diharap kenaikan gaji tahunan ini dapat dipertimbangkan pada Bajet 2019 nanti,” katanya.

Selain itu, beliau berharap elaun kritikal dapat diberikan kepada guru bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional(TVET).

“Elaun ini sudah lama ada tetapi tidak semua yang dapat. Saya berharap ia dapat diselaraskan dengan betul dan utamakan guru STEM dan TVET.

“Kalau boleh lebihkan bajet dan peruntukan untuk mesin TVET yang kini masih belum mencukupi untuk digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarozaman turut mencadangkan kerajaan memberi pelepasan cukai kepada ibu bapa dan guru yang ingin memberi sumbangan derma kepada sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:36 AM