Hadzlihady Hassan


REMAJA lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas pertuduhan meliwat pembantu kedai dalam tandas di pusat sukan di Mak Mandin, 18 Oktober lalu.

Tertuduh yang berusia 14 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dalam perbicaraan yang dijalankan secara tertutup.

Noor Aini kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh keputusan kes.

Bapa tertuduh kemudian membayar wang jaminan itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa meliwat remaja lelaki berusia 16 tahun pada 9 pagi, 18 Oktober lalu dalam tandas di Pusat Sukan Bola-Bola, Taman Cantik, Butterworth.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 377A kanun keseksaan iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga dikenakan sebat.


REMAJA berumur 14 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas pertuduhan meliwat dengan ikat jamin sebanyak RM2,000 sementara menunggu keputusan pada 20 Disember 2018. FOTO Mikail Ong

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazratul Natrah Mohd Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang berbaju putih dan berseluar pendek biru dilihat ditemani ahli keluarganya hadir ke mahkamah.

Mangsa membuat laporan polis pada 24 Oktober lalu mendakwa dia diliwat tertuduh ketika sedang menunggu majikannya.

Tertuduh juga mengugut akan memukul sekiranya mangsa tidak mahu mengikut kemahuannya itu.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya yang kemudian berjumpa keluarga tertuduh untuk berbincang.

Bagaimanapun, bapa mangsa pula diugut akan dipukul ahli keluarga tertuduh sekiranya mangsa membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 1:29 PM