Nur Aqidah Azizi
nur@nstp.com.my


BEKAS penyelia sebuah syarikat perumahan mengaku tidak bersalah terhadap 17 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai RM922,500 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Wong Tze Wei, 44, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim G Ramesh.

Bagi semua 17 pertuduhan, Tze Wei didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dana syarikat yang diamanahkan kepadanya di No 56, Jalan Era Square 4, Seremban antara 27 Januari 2016 dan 25 April 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak memohon mahkamah mengenakan ikat jamin tinggi selain meminta tertuduh menyerahkan pasport antarabangsanya.

Namun, peguam J Ravin membantah kerana anak guamnya sebagai seorang ahli perniagaan perlu keluar masuk negara ini untuk urusan pekerjaan.

“Kes dilaporkan pada 2016. Walaupun dia keluar luar negara, dia selalu kembali kerana mempunyai isteri dan tiga anak yang tinggal di negara ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Wong untuk melaporkan di Balai Polis Campbell, Seremban pada minggu pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 26 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 4:01 PM
Wong (dua kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. FOTO Hazreen Mohamad