Mohd Iskandar Ibrahim

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi membincangkan penangguhan prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pihaknya menerima surat daripada Tommy pada 25 Oktober lalu yang memberi pandangan untuk menangguhkan prosiding berkaitan 1MDB secara ‘sine die’ (tanpa tarikh khusus).

“Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli PAC Parlimen, saya dan beberapa ahli PAC mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, untuk memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

“Susulan daripada itu, PAC akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara secepat mungkin bagi membincangkan perkara mengenai penangguhan berkenaan dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, PAC menangguhkan prosiding berhubung 1MDB membabitkan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dan akan menetapkan semula tarikh serta masa sesuai dalam tempoh terdekat.

Selain 1MDB, PAC turut menangguhkan prosiding membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berhubung Tuntutan Tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 5:07 PM
Digital NSTP Subscribe