Syanty Octavia Amry
soctavia@nstp.com.my

RIBUT petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Negri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga jam 10 malam hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam satu kenyataan, menyenaraikan beberapa kawasan yang terjejas di Pahang seperti Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Sementara itu, Met Malaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut 40-50 kilometer sejam (km/j) dengan gelombang sehingga 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Barat Sabah sehingga Sabtu ini, 3 November.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut,” kata jabatan berkenaan.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran kategori kedua untuk aktiviti perkapalan kerana angin barat daya yang kuat 50-60 km/j dengan gelombang sehingga 4.5m di atas perairan di sebelah timur Condore, timur laut Bunguran, barat Reef North dan barat laut Reef South untuk tempoh yang sama.

Met Malaysia berkata, angin kencang dan laut bergelora berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk aktiviti memancing dan perkhidmatan feri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 9:49 PM