Foto Hiasan
Shahrinnahar Latib


AKIBAT terlalu takut dikenakan hukuman gantung sampai mati selepas dikatakan terbabit dengan kes pengedaran dadah, pesara kilang di Kuala Lipis, sanggup menyerahkan wang tunai RM30,000 kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa lelaki berusia 57 tahun dan tinggal di Kampung Lubok Kulit Telang, Padang Tengku, dekat sini, menerima panggilan daripada lelaki bernama Azrie Azman yang mendakwa sebagai pegawai bank dari RHB Bank Cawangan Seremban, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek berkenaan mendakwa mangsa ada membuat pinjaman peribadi RM70,000 dengan kadar bayaran bulanan sebanyak RM1,295.

“Suspek memberitahu mangsa gagal membayar ansuran bulanan selama tiga bulan iaitu sebanyak RM3,885. Bagaimanapun, mangsa menafikan dia pernah membuat pinjaman peribadi di bank berkenaan.

“Bagi menakutkan lagi mangsa, suspek turut mendakwa dia juga terbabit dengan kes pengedaran dadah dan pengubahan wang haram yang mana boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, panggilan berkenaan kemudiannya disambungkan kepada ‘pegawai polis’ yang menjalankan siasatan kes berkenaan sebelum hasil perbincangan, suspek kedua itu menawarkan bantuan kepada mangsa bagi menyelesaikan masalah dihadapi mangsa.

“Tanpa berfikir panjang mangsa menerima tawaran berkenaan seperti mana syarat yang ditetapkan. Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pembayaran wang sebanyak RM30,000 ke dalam satu akaun yang diberikan. Mangsa kemudian membuat pindahan wang berkenaan pada hari yang sama,” katanya.

Katanya lagi, selepas selesai membuat pindahan wang berkenaan, suspek sekali lagi mengarahkan mangsa memindahkan wang RM30,000 ke dalam akaun yang sama, namun mangsa menyedari sudah ditipu sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang lelaki di Jaya Gading, di sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM9,140 selepas diperdaya sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud di Facebook, minggu lalu.

Katanya, kejadian bermula 23 Oktober lalu apabila mangsa melihat iklan pinjaman wang di Facebook.

“Mangsa mengisi satu borang dan meletakkan nombor telefon di borang berkenaan sebelum dihubungi oleh seorang lelaki. Selepas perbincangan, mangsa berminat membuat pinjaman sebanyak RM40,000.

“Tidak lama kemudian, suspek mendakwa pinjaman berkenaan sudah lulus dan meminta mangsa untuk membuat pelbagai bayaran termasuk untuk cukai, wang pendahuluan dan peguam,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat lima kali traksaksi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM9,140, namun suspek masih lagi meminta wang daripadanya.

“Suspek yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam. Kedua-dua kes ini Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 11:15 AM