Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw meminta bukti dikemukakan segera bagi membuktikan kebenaran dakwaan kononnya laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda atas arahan individu tertentu hingga gagal mengesan salah laku syarikat pelaburan negara itu.

Menurut Dr Tan, tuduhan perlu disertakan dengan bukti kukuh kerana dakwaan yang dilemparkan membabitkan kepentingan rakyat dan negara.

“Membuat tuduhan memang senang tetapi untuk mengemukakan bukti kukuh itu bukan perkara yang mudah.

“Sekarang terlalu banyak dakwaan berasaskan politik dan sukar untuk rakyat hendak membezakan mana satu benar, mana satu tidak.

“Jadi, kita tidak boleh menuduh seseorang itu bersalah hingga ada bukti kukuh yang dikemukakan di mahkamah,” katanya.

Menurut Dr Tan, jika ada pihak yang mengaitkan isu itu dengan bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, mereka perlu mengemukakan bukti kukuh kerana tuduhan begitu jelas mencemarkan nama baik beliau.

“Isu berkaitan 1MDB sememangnya menjadi tumpuan rakyat dan tuduhan tanpa bukti pastinya menyemarakkan api kemarahan mereka (rakyat).

“Ia perlu disiasat dengan teliti dan jika benar wujud kesalahan serta mempunyai bukti, jangan teragak-agak mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

Dr Tan mengulas dakwaan Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh di Dewan Rakyat kelmarin, mengenai laporan asal Ketua Audit Negara berhubung 1MDB yang dikatakan dipinda atas arahan individu tertentu hingga gagal mengesan salah laku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Wong mendakwa, salah laku itu hanya dikesan selepas berlaku perubahan pentadbiran negara 9 Mei lalu.

Wong yang yang juga Timbalan Pengerusi PAC berkata, isu 1MDB serius, namun PAC ketika itu gagal membuka semula siasatan walaupun Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat mengambil tindakan sebaliknya.

“Ketika itu bukan saja PAC gagal buka semula siasatan, malah laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.

Pengerusi PAC Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula pada kenyataan berkata, PAC menangguhkan prosiding siasatan 1MDB membabitkan Ambrin ke satu tarikh dan masa yang ditetapkan.

Ronald sebelum ini dilapor berkata, Ambrin yang dinamakan sebagai seorang daripada saksi bagi siasatan semula 1MDB, adalah Ketua Audit Negara ketika Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan syarikat pelaburan itu.

Menurut Ronald, Ambrin yang sepatutnya memberi keterangan pada prosiding pertama siasatan semula 1MDB itu kelmarin, sudah membentangkan laporannya sebelum ini iaitu Mac 2016 kepada PAC, ketika persidangan Parlimen penggal ke-13.

Sementara itu, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad enggan memberi penjelasan lanjut berhubung isu pindaan laporan asal berkenaan.

“Saya minta maaf banyak-banyak, buat masa ini saya tidak dapat memberi komen lanjut,” katanya ringkas ketika dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 11:28 AM