GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


MALANG seorang wanita di Kuala Terengganu apabila niat baik menegur rakan serumah supaya menjaga kebersihan dapur berakhir dengan kecederaan selepas lengan kirinya ditoreh dengan pisau.

Dalam kejadian jam 8.15 malam, Isnin lalu, mangsa berusia 43 tahun berada di rumah sewanya di Jalan Balik Bukit, sebelum didatangi rakan serumahnya itu yang dalam keadaan marah.

Sumber berkata, suspek berusia 22 tahun mendekati mangsa sambil memegang pisau pemotong sayur dan memarahi mangsa sehingga keadaan menjadi tegang dan mereka bertengkar.

“Ketika pertengkaran itu, suspek mengacukan pisau ke leher mangsa sebelum menoreh lengan kirinya sehingga cedera dan berdarah.

“Suspek yang panik dengan perbuatan sendiri kemudian keluar daripada bilik mangsa,” katanya.

Sumber berkata, susulan laporan polis dibuat mangsa, polis menahan suspek, jam 11.10 malam hari kejadian.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak puas hati dengan mangsa selepas ditegur supaya menjaga kebersihan dapur.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman empat hari sehingga Jumaat ini.

“Ia bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 5:03 PM