FOTO hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana menegur abang iparnya ingin menghisap dadah, seorang wanita kini ketakutan selepas diugut bunuh lelaki itu yang mengamuk di kediaman mereka di Taman Selasih, Kulim, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, mangsa, 30-an, terlihat suspek berusia 46 tahun mahu menghisap dadah di ruang tamu.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, mangsa kemudian menegur abang iparnya namun suspek tidak dapat menerima teguran itu dan terus mengamuk.

Menurutnya, suspek turut mengambil sebilah pisau serta mengacu ke arah mangsa serta mengugut ingin membunuh wanita itu dan anak-anaknya.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan itu, polis kemudian menahan suspek jam 10 pagi semalam di rumahnya bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, hasil soal siasat awal suspek mengaku mengugut mangsa dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 11:44 AM