GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


MUFTI Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bersetuju jika kerajaan negeri mahu melaksanakan perintah berkurung ke atas remaja pada waktu malam.

Beliau berkata, cadangan perintah berkurung terhadap remaja boleh mengatasi masalah gejala sosial di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya, jika cadangan itu mahu dilaksanakan, ia perlu dibuat kajian dengan teliti kerana ada kaitan dengan penjagaan ibu bapa.

“Sememangnya, tiada keperluan untuk remaja keluar pada waktu malam dan jika ibu bapa itu kuat (mampu), mereka boleh mengawal anak.

“Tapi jika ada peraturan yang lebih ketat dibuat oleh kerajaan, ia boleh membantu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi, mengenai perkara itu ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2019 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Ketika ditanya sama ada ia menyekat kebebasan remaja atau tidak, Mohamad Shukri berkata setiap kebebasan ada batasnya.

“Kerajaan boleh membuat peraturan demi menjaga kemaslahatan rakyat dan peruntukan Islam yang diberi kepada kerajaan.

“Ia boleh membantu ibu bapa yang kadangkala terlepas kawalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 4:23 PM