Siraj Mohd Zaini


PERASAAN sedih suami isteri yang kehilangan tempat tinggal menjelang sambutan perayaan Deepavali, minggu depan, sedikit terubat selepas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, datang menziarahi mereka serta menghulurkan bantuan awal, hari ini.

Kediaman P Subramaniam, 52, dan isterinya, S Murugammal, 50, di Pangsapuri Taman Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang, musnah akibat kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas pada malam Isnin lalu.

Menceritakan semula kejadian malang itu, Subramaniam yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang berhampiran kediamannya berkata, beliau dan isteri baru sampai ke rumah selepas pulang daripada membeli barang keperluan di kedai.

“Pada 8.30 malam, saya dan isteri keluar untuk membeli barang, saya tidak pasti gas bocor di dalam rumah.

“Walaupun letupan itu sangat kuat, tetapi mujur tiada kemalangan jiwa dalam kebakaran berkenaan,” katanya ketika ditemui.

Subramaniam berkata, beliau dan isteri kini tinggal di Dewan Orang Ramai Pandamaran Jaya sementara mencari tempat tinggal lain yang bersesuaian.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pihaknya menyerahkan RM1,000 sebagai bantuan awal kepada mangsa.

Beliau berkata, bantuan diserahkan itu bagi peringkat awal sementara menunggu bantuan lanjut disalurkan selepas pihak berkuasa membuat siasatan terperinci mengenai kerosakan dan kerugian dialami mangsa.

“Bantuan selanjutnya akan diberikan mengikut laporan kerosakan diterima daripada pihak bomba dan ia akan disalurkan menerusi peruntukan daripada Pejabat Parlimen Kota Raja, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa dan kerajaan Selangor.

“Kebakaran serius hanya membabitkan satu unit rumah saja namun jika ada unit lain yang terkesan atau retak dengan insiden itu, kita minta penghuni membuat laporan kepada pihak bomba dan polis untuk diteliti sama ada ia masih selamat diduduki atau sebaliknya,” katanya.

Turut hadir pada sesi lawatan berkenaan adalah Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Bujang dan Ketua Bomba Zon Klang, Samsol Maarif Saibani.

Mengulas mengenai kejadian itu, Samsol Maarif berkata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran berpunca daripada kebocoran gas sehingga ia meletup dan berlaku beberapa rekahan dinding batu sehingga binaan berkenaan jatuh ke tingkat bawah.

“Ketika kejadian, penghuni rumah tiada dan mungkin masa itu kebocoran gas berlaku dan memenuhi ruang dalam rumah.

“Apabila mereka pulang dan membuka lampu, ia menyebabkan letupan sehingga dinding unit di tingkat dua itu merekah dan jatuh ke tingkat bawah.

“Letupan itu menyebabkan rumah berkenaan terbakar 100 peratus dan hasil pemeriksaan mendapati ada berlaku beberapa kerosakan pada unit rumah berdekatan. Kami minta mereka laporkan kepada bomba untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:33 PM
MOHAMAD Sabu (dua dari kanan) bertanya khabar Subramaniam (tiga dari kiri) selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Pangsapuri Taman Pendamar Indah 2, Pelabuhan Klang. FOTO Roslin Mat Tahir.