ABDUL Afeeq dan Abdul Azeem bergambar bersama Arba’iyah selepas menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Lukis dan Seni Reka pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di Lendu, Alor Gajah, semalam. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


TERSILAP orang, dipanggil dengan nama berbeza, malah tidak dikenali rakan sekelas adalah perjalanan sukar buat pasangan kembar seiras sehingga mereka menamatkan pengajian.

Masalah kejadian rakan keliru dengan mirip wajah, selain pensyarah turut tersilap memanggil nama menjadi cabaran buat pasangan Abdul Afeeq Kasim dan adiknya, Abdul Azeem, masing-masing berusia 25 tahun.

Mereka menerima Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Lukis dan Seni Reka pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di Lendu, Alor Gajah, semalam mengakui mengharungi perjalanan harian sedikit merunsingkan pada awal pengajian di universiti itu.

Abdul Afeeq berkata, walaupun mengalami kesukaran pada awalnya, namun mereka sudah biasa dengan perkara itu dan sering ketawa sendirian atau bersama.

“Apapun semuanya berjalan dengan baik dan akhirnya kami berjaya menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah.

“Mirip wajah, kulit, senyuman, suara dan ketawa yang hampir sama menyebabkan rakan memanggil kami dengan nama Afeeq Azeem.

“Keadaan itu menyebabkan kami menyahut saja (panggilan nama) sehingga saya dan adik kekal dengan panggilan itu sehingga tamat pengajian,” katanya sambil menjelaskan mereka dilahirkan tempoh perbezaan hanya 27 minit.

Sementara itu, ibu pasangan kembar berkenaan, Arba’iyah Mohd Khairan, 60, turut mengakui keliru dengan wajah kedua-dua anaknya itu, terutama ketika mereka sedang tidur.

“Jadi, tidak hairanlah rakan mereka di kampus tersilap untuk mengecam Abdul Afeeq dan Abdul Azeem ini,” katanya yang berstatus ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia sembilan tahun lalu.

Sementara itu, pasangan adik-beradik yang memiliki wajah hampir sama, Normaziatul Azila Moktar, 25, dan adiknya, Normaizatul Adlin, 22, turut memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan Teknologi Pejabat dari Fakulti Pengurusan Perniagaan.

Normaziatul berkata, ada rakan keliru dengan wajah mereka, namun keadaan itu lebih terkawal kerana mereka bukan pasangan kembar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 12:16 AM