NUR Hashimah menunjukkan hasil tuaian cili merah.
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Walaupun terpaksa berpanas dan berhujan ia bukan masalah kerana sekarang saya memang bersemangat untuk berbakti kepada tanah. Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana semua ini demi kelangsungan hidup saya.

“Saya pasti dan kerap berdoa supaya terus berjaya dalam bidang pertanian,” kata ibu tunggal, Nur Hashimah Mahmood, 38.

Usahawan tani itu mengusahakan tanaman cili merah fertigasi, timun dan rock melon di sebuah ladang di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan, sejak tiga tahun lalu.

Nur Hashimah berkata, dia nekad berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta kerana mahu serius dalam bidang pertanian.

Dia terdorong untuk serius dalam bidang pertanian selepas melihat rakannya yang mengusahakan tanaman cili padi di Kluang, Johor, mendapat pulangan lumayan.

“Walaupun tidak ada pengalaman dalam bidang perniagaan, tanpa berfikir panjang saya berhenti kerja, malah adik-beradik terutama abang menyokong keputusan saya.

“Saya kemudian mengikuti kursus teknik fertigasi anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK Kuala Langat) sebelum menyewa tanah seluas 1.2 hektar di Bukit Pelanduk.

“Buat permulaan saya mengeluarkan modal sebanyak RM24,000 untuk mengatur kelengkapan fertigasi termasuk membeli 2,000 anak pokok cili yang diuruskan PPK Kuala Langat,” katanya, ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dia kemudian membeli tambahan sebanyak 4,000 pokok cili menjadikan jumlah keseluruhan 6,000 pokok cili.

Sepanjang proses itu, dia sendiri yang melakukan kerja membaja dan meracun bagi memastikan tanaman fertigasi diusahakan sentiasa berada dalam keadaan baik serta subur.

“Setiap hari saya akan ke ladang untuk melihat dan memeriksa pokok cili. Saya memilih cili kerana mudah dijaga. Apatah lagi menggunakan kaedah moden yang tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai.

“Menggunakan penanaman secara fertigasi, saya tidak perlu membajak tanah, merumput mahupun meracun. Apabila sampai masa, saya akan menggantikan pokok lama dengan benih baru menggunakan beg semaian sama.

“Malah, sistem pengaliran air secara moden sangat menjimatkan tenaga kerja. Saya hanya perlu memasang alat jangka masa di tangki bekalan di mana ia akan membekalkan air secara automatik mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Katanya, penanaman cili dapat memberi hasil yang cepat iaitu dalam tempoh lima hingga enam bulan.

“Bagi musim pertama tuaian membabitkan 2,000 beg semaian, saya memperoleh kira-kira lima tan cili dengan pendapatan RM30,000 membuatkan saya terus bersemangat dan serius dalam bidang ini.

“Selain cili, saya juga mengusahakan tanaman giliran timun dan rock melon (4,000 pokok) kerana mahu pelbagaikan jenis tanaman selain mengikut permintaan semasa,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata berusia sembilan dan 13 tahun itu berkata, soal pemasaran juga tidak menjadi masalah kerana semua cili dituai dihantar ke Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) melalui PPK Kuala Langat.

“Jabatan Pertanian Negeri Sembilan juga banyak membantu daripada segi khidmat nasihat. Selain itu saya juga banyak menimba pengetahuan melalui pembacaan di laman maya.

“Apabila mendapat hasil pertama, ia sangat memberangsangkan serta menambahkan keyakinan saya untuk menjadikan penanaman cili sebagai kerjaya baru,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 10:46 AM