FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Izham Unnip Abdullah

WANITA ditegur mahkamah selepas beberapa kali menukar pengakuan ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, sebelum dihukum penjara tujuh bulan atas dakwaan mencari pelanggan bagi maksud melakukan pelacuran.

Tertuduh, Flossie Freda P Sikawi, 25, pada mulanya tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan, namun tiba-tiba menukar pengakuan kepada bersalah sebelum sekali lagi mengaku tidak bersalah selepas dimaklumkan hukuman yang bakal dihadapinya.

Majistret Stephanie Sherron Abbie, kemudian menegur tertuduh supaya tidak membuat pengakuan yang mengelirukan dengan menetapkan pendirian sama ada mengaku bersalah atau tidak terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan itu.

Flossie yang tidak diwakili peguam kemudian mengekalkan pengakuannya kepada bersalah sebelum dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 27 Oktober lalu.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh mengaku memiliki dua anak dan berjanji tidak mengulangi aktiviti itu ketika membuat rayuan supaya hukuman terhadapnya diringankan.

“Saya minta dikurangkan hukuman kerana saya ada dua anak di kampung. Saya (janji) tidak buat lagi, selepas ini saya mahu buat kerja yang bagus-bagus saja,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan polis bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya di sebuah bilik hotel di Jalan Padang, Kota Kinabalu, pada 8.10 malam, 27 Oktober lalu.

Siasatan mendapati lelaki terbabit mengaku tertuduh memberikan khidmat seks dengan harga RM150, manakala tertuduh turut mengaku mencari pelanggan menggunakan aplikasi sosial WeChat sejak kira-kira sebulan lalu sebagai cara mudah mendapatkan wang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 3:23 PM