Iskandar Shah Mohamed


POLIS menumpaskan tujuh kumpulan yang aktif mencuri motosikal dengan tertangkapnya 23 individu termasuk remaja belasan tahun dalam Ops Lejang Khas fasa ketiga sejak Jun lalu.

Semua kumpulan itu dikenali sebagai Geng Herry 16, Geng Kamal 3B, Geng Irfan LC, Geng Watiq Johan Setia, Geng Ateem Puncer, Geng Kiman Ken Rimba dan Geng Lidud 20.

Difahamkan, geng beroperasi secara berasingan itu antaranya turut meleraikan dan menjual komponen motosikal curi berkenaan kepada ‘pelanggan’ mereka.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, semua suspek berusia 17 hingga 35 tahun itu ditahan pihaknya dalam beberapa siri serbuan di dalam dan luar Shah Alam.

“Sepanjang tempoh awal Jun lalu sehingga semalam, kami merampas 22 motosikal pelbagai model, tiga rangka dan lima kulit (penutup) enjin motosikal selain beberapa komponen serta peralatan lain.

“Siasatan mendapati ada suspek turut memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes curi motosikal dan penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, enam suspek sudah dihadapkan ke mahkamah antaranya mengikut Seksyen 379A, Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, beberapa lagi individu dalam proses bagi tindakan lanjut mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), manakala selebihnya masih disiasat.

“Kejayaan itu membawa kepada penyelesaian sebanyak 40 kes curi motosikal di daerah ini.

“Selain itu, indeks jenayah kes berkenaan mencatatkan penurunan sebanyak 6.85 peratus atau 44 kes dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding tahun lalu.

“Kami mendapati jumlah kes kecurian motosikal termasuk di kawasan bandar kini hanya satu atau dua kes sehari berbanding empat atau lima sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, motosikal yang menjadi sasaran utama antaranya Yamaha LC 135 dan Honda EX5.

Katanya, pihaknya akan menjalankan operasi khas itu secara berterusan bagi memastikan kegiatan jenayah berkenaan dibanteras sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 7:47 PM
BAHARUDDIN menunjukkan motosikal dirampas daripada tujuh geng curi motosikal pada Sidang Media Ops Lejang Khas fasa ketiga di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.