PROJEK Perumahan Rakyat (PPR). FOTO Ramli Ibrahim
Mohamad Fahd Rahmat


BELANJAWAN 2019 adalah satu perancangan yang tepat dan terperinci dalam usaha menyelesaikan permasalahan pemilikan rumah untuk rakyat Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, belanjawan berkenaan adalah satu perangkaan yang bersifat merencana pembangunan secara holistik dan juga lebih bersasar.

“Bagi membantu golongan berpendapatan tidak lebih daripada RM2,300 sebulan memiliki rumah buat kali pertama, dana berjumlah RM1 bilion akan ditubuhkan oleh Bank Negara untuk pembelian rumah mampu milik berharga sehingga RM150,000.

“Bermula pada 1 Januari 2019, dana berkenaan akan tersedia di beberapa bank tempatan yang terpilih, melalui kadar pembiayaan terkurang serendah 3.5 peratus yang mana sekaligus dapat mengurangkan jumlah bayaran ansuran bulanan pembiayaan oleh peminjam untuk memiliki rumah seterusnya lebih mudah mendapat pembiayaan.

“Untuk pembeli rumah pertama bernilai sehingga RM500,000, kerajaan memberi pengecualian duti setem sehingga RM300,000 yang pertama ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi dua tahun sehingga Disember 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, bagi menangani isu lambakan rumah yang tidak terjual pula, kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta berkuatkuasa bagi enam bulan mulai 1 Januari 2019.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan, turut mendapat sokongan pemaju yang menawarkan potongan diskaun 10 peratus ke atas harga hartanah kediaman projek sedia ada.

“Selain itu selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang memberi pengecualian terhadap perkhidmatan dan bahan binaan, Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan Malaysia (REHDA) bersetuju untuk memberi pengurangan sebanyak 10 peratus daripada nilai jualan bagi projek perumahan yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek perumahan baharu,” katanya.

Beliau berkata, insentif lain seperti memperkemas Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) dengan menghapuskan cukai untuk rumah bernilai di bawah RM200,000 dilihat dapat menstabilkan pasaran semasa dan ternyata belanjawan untuk tahun 2019 memberi fokus kepada pemilikan rumah bagi golongan B40.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 8:52 AM