Hadzlihady Hassan


POLIS Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang membongkar sindiket memproses ekstasi dengan penahanan tujuh individu dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, serbuan bermula 3.15 pagi hingga 4.40 pagi itu dilakukan di rumah teres dua tingkat di Changkat Minden, Georgetown, kondominium di Bayan Lepas dan pangsapuri di Gelugor.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai dadah yang jumlahnya dianggarkan bernilai RM534,000.

“Dalam serbuan pertama di rumah teres dua tingkat itu, kita menahan empat suspek bersama dadah serta pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses ekstasi dan 12 butir peluru.

“Dua lagi suspek ditahan di kondominium, manakala seorang lagi ditahan di pangsapuri, namun tiada rampasan dadah dalam kedua-dua serbuan itu,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, semua suspek warga tempatan yang berusia 26 hingga 58 tahun itu terdiri daripada empat lelaki serta tiga wanita.

Katanya, mereka dipercayai sudah menjalankan aktiviti memproses dadah itu selama dua bulan.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kita juga masih menjalankan siasatan berhubung peluru yang ditemui dan tujuan ia disimpan ahli sindiket terbabit,” katanya.

Antara dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah ekstasi 3.4 kilogram (kg); syabu (3.5kg); heroin (2.3kg); daun ketum (1.5kg); serbuk kafein (22kg); 1,800 pil yaba dan 218 pil ekstasi.

Thaiveegan berkata, selain dadah polis turut menyita wang tunai, akaun bank, barang kemas, jam tangan dan lima kenderaan iaitu Toyota Caldina, Mercedes Benz, Nissan Almera, Volkswagen serta motosikal Yamaha Ego Avantiz yang semuanya bernilai RM390,188.44.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 5:15 PM
A Thaiveegan (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan dadah bernilai RM534,000 ketika sidang media. FOTO Mikail Ong