MUHAMMAD Iqmal cedera selepas ditimpa tayar basikal kanak-kanak di PPR Gombak Setia.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@nstp.com.my


REMAJA lelaki nyaris maut selepas ditimpa bahagian hadapan tayar basikal kanak-kanak yang dibuang dari tingkat atas flat di Blok 41 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia, Kuala Lumpur, 9.30 pagi semalam.

Bagaimanapun, akibat kejadian itu, mangsa, Muhammad Iqmal Abdul Razak, 19, terpaksa menerima 15 jahitan di kepala selain luka pada bahagian siku.

Muhammad Iqmal berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja turun dari rumahnya di tingkat enam untuk pergi ke tempat kerja.

Katanya, ketika berada di bawah flat itu, dia berjalan sambil berbual dengan seorang rakannya.

"Ketika berbual, tiba-tiba bahagian kepala terasa macam meletup seperti ada benda berat menimpa.

"Sebaik saja ia berlaku, saya rasa melayang seperti mahu pitam dan sakit di bahagian atas kepala," katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Menurut Muhammad Iqmal, dia tidak mengetahui apa yang menimpa kepalanya pada waktu itu dan berada dalam keadaan separuh sedar.

Katanya, rakannya memberitahu dia terkena tayar basikal yang dibuang dari tingkat atas.

"Waktu itu, terus saya teringkat kejadian seorang remaja meninggal dunia selepas terkena kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas dan berharap nasib saya tidak sepertinya," katanya.

Remaja itu berkata, kejadian itu turut dilihat oleh kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang kemudian membawanya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, selepas mendapat rawatan, dia kemudian membuat laporan kepada DBKL dan laporan di Balai Polis Setapak.

Sementara itu, abang sulung mangsa, Muhammad Ikram Abdul Razak berkata, adiknya bernasib baik kerana objek yang dibaling tidak kena tepat pada bahagian tengah kepala dan tidak menyebabkan kematian.

Bagaimanapun, dia berharap agar pihak berkuasa memandang serius kejadian itu kerana ia boleh membawa maut jika objek berkenaan terpacak di kepala atau terkena kepala kanak-kanak.

"Mujur objek tayar basikal lengkap dengan besi pengikatnya tidak jatuh terpacak di kepala adik saya dan hanya menyebabkan kecederaan sahaja.

"Biarpun hanya cedera, saya tetap berharap agar pihak berkuasa menyiasat agar kejadian seperti itu tidak berulang.

"Mungkin hari ini hanya cedera, esok-esok siapa tahu, ada pula yang mati terkena objek dibuang penduduk tidak bertanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 6:08 PM