KEADAAN rumah mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


LELAKI parah selepas berlaku letupan akibat kebocoran gas di rumahnya di Lorong Air Putih, Taman Sentosa, Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, mangsa, Tan Eok Sing, 50, melecur di beberapa bahagian badan selepas disambar api selain terkena serpihan letupan di ruang tamu

Bagaimanapun, isterinya tidak mengalami kecederaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sani Harul berkata, isteri mangsa kemudian membawa lelaki itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati berlaku kebocoran gas di dalam rumah itu sebelum berlaku letupan.

“Punca sebenar letupan masih lagi disiasat Jabatan Forensik Bomba Pahang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, letupan itu turut mengakibatkan rumah mangsa mengalami kerosakan, selain dua rumah bersebelahan dengan rumah mangsa turut terjejas.

Menurutnya, bomba turut melakukan kerja pembersihan serpihan kaca dan letupan di lokasi kejadian.

“Kita akan menemubual mangsa sebaik keadaan mengizinkan, buat masa ini dia masih menerima rawatan di HTAA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 12:23 PM