GAMBAR hiasan
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


MENGERIKAN. Itu keadaan mayat seorang wanita dengan kepala pecah selepas terjatuh dari motosikal ditunggang dan digilis sebuah kenderaan, di Prai, semalam.

Pada kejadian jam 8.45 malam di Jalan Perusahaan Perai itu, mangsa, Farhana Alia Khairol Azhar, 30, beralamat di Padang Serai, Kedah

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika kejadian, wanita itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Perai menghala ke Juru.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan.

Beliau berkata, wanita itu kemudian terjatuh dari motosikal sebelum dipercayai digilis kenderaan terbabit.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun, pemandu kenderaan terbabit dipercayai melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Menurutnya, pihaknya meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau saksi kejadian menghubungi polis di talian 04-5301977.

“Mereka juga boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Farizal Akmar Omar di talian 019 2734851.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 5:03 PM