LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian warga emas dilanggar lori ketika melintas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.


JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur merekodkan kira-kira 20 kes pejalan kaki maut ketika melintas jalan raya di sekitar ibu negara, bermula Januari lalu hingga bulan lalu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata sebahagian besar kes itu termasuk individu tidak menggunakan jejantas membabitkan warga emas serta kanak-kanak berusia 55 tahun ke atas dan sembilan tahun ke bawah.

Pada masa sama, katanya, pengguna jalan raya perlu memainkan peranan penting dengan lebih berwaspada dan memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melihat individu melintas jalan.

“Kami pantau kes seperti ini dan sebelum ini kami kerap membuat operasi bagi menangani masalah berkenaan.

“Selepas kes pejalan kaki warga emas yang maut di Jalan Raja Laut semalam, kami akan kaji semula apa tindakan susulan boleh diambil JSPT Kuala Lumpur.

“Ia perlu seiring dengan peranan dan tanggungjawab pemandu kenderaan, malah jika terdapat papan tanda awas haiwan melintas, ia sudah menjadi kesalahan jika haiwan itu dilanggar.

“Dalam hal ini, kami memikirkan nyawa manusia, jadi marilah kita sama-sama memastikan kejadian itu tidak berlaku lagi,” katanya pada NSTP, hari ini.

Semalam, seorang wanita warga emas terperosok dan tersepit di bawah lori sejurus dirempuh kenderaan berat itu.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 70-an bersama rakannya yang juga wanita warga emas melintas jalan berhampiran jejantas di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 12.15 tengah hari.

Nahas menyebabkan mangsa yang tersepit maut serta-merta manakala seorang lagi cedera parah.

Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya mengadakan Operasi Jejantas secara berkala bagi mengesan individu yang masih enggan mematuhi peraturan lalu lintas.

“Kami adakan operasi dalam dua atau tiga kali sebulan, DBKL akan keluarkan saman maksimum RM300 bagi pejalan kaki yang didapati tidak menggunakan jejantas.

“Polis mempunyai hak untuk membuat perkara sama, malah ada beberapa operasi kami bekerjasama dengan polis bagi menahan individu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan wartawan NSTP di Jalan Raja Laut, mendapati majoriti pejalan kaki menggunakan jejantas berdekatan.

Seorang peniaga berhampiran yang ingin dikenali sebagai Ali berusia 50-an berkata, ada warga tempatan masih degil tidak menggunakan jejantas kerana lebih menyayangi ‘masa’ daripada nyawa.

“Banyak orang mahu cepat, nak ‘kejar’ masa masuk pejabat, pergi bank sehingga tidak sayang nyawa sendiri.

“Namun, saya lihat hari ini hampir semua pengguna jalan menggunakan jejantas, harap ia berterusan.

“Jangan hanya dua atau tiga bulan selepas mendengar berita kematian warga emas itu,” katanya.

Berita berkaitan

'Lintasan maut'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 9:46 PM