KANNIS (kiri) melawat Hemahdharshiny yang mengidap penyakit Licence Carefully (LC) atau gangguan otak di Taman Bandar Seremban Selatan, hari ini. Foto HASRIYASYAH SABUDIN
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“UJIAN yang diberi sangat berat, namun kami sedia menempuhinya. Dia akan dijaga hingga akhir nyawa,” kata A Esvany, 32, ibu remaja perempuan orang kurang upaya (OKU), M Hemahdharshiny, 15, yang menghidap penyakit gangguan pembesaran otak.

Esvany dari Taman Bandar Seremban Selatan Fasa 3B berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu dilahirkan normal seberat 2.16 kilogram (kg), namun selepas berusia enam bulan masih tidak boleh meniarap dan memegang objek .

Katanya, pemeriksaan darah yang dibuat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban kemudian mengesahkan dia mengalami masalah pembesaran otak atau Lissencephaly.

“Sebagai ibu, saya sentiasa cemburu melihat remaja seusianya yang bersekolah. Setiap hari saya memikirkan masa depannya dan berdoa semoga Tuhan menjaganya,” katanya ketika menerima kunjungan aktivis kebajikan, K Kannis di rumahnya, hari ini.

Turut berada di rumah adalah suaminya, D Mahendran, 40, serta dua lagi anak mereka, Veebaishra, 5, dan Rishuand, 3.

Menurut Esvany, hari ini adalah ulang tahun kelahiran Hemahdharshiny ke-15 dan mereka akan menyambut Deepavali secara sederhana, esok.

“Kami jarang keluar rumah untuk bersiar-siar kerana kadang kala orang ramai memandang negatif terhadap Hemahdharshiny,” katanya.

Menurutnya, biarpun keluarga hidup serba kekurangan, namun mereka tidak akan mengabaikan Hemahdharshiny.

“Sepanjang 15 tahun, kesabaran menjadi kunci utama. Hati saya sering tersentuh melihat anak tidak dapat berjalan berikutan kedua-dua kaki dan tangannya tidak lurus,” katanya memaklumkan anaknya itu kini seberat 20 kg.

Katanya, biarpun anaknya tidak boleh bercakap, namun dia memahami percakapan mereka dan makan sekurang-kurangnya empat kali sehari.

“Hemahdharshiny hanya mampu terbaring dan kerap diserang sawan sebelum ini. Setakat ini kami menerima sumbangan sebuah kerusi roda daripada HTJ, sembilan tahun lalu namun ia sudah rosak,” katanya.

Sementara itu, Mahendran berkata, dia bekerja sebagai pemandu lori pasir dengan pendapatan RM2,500 sebulan manakala isterinya tidak bekerja.

“Keluarga kami menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi masih tidak mencukupi.

“Saya perlu memperuntukkan kira-kira RM2,500 untuk susu, lampin pakai buang dan kos rawatan Hemahdharshiny setiap bulan. Itu tidak termasuk perbelanjaan harian lain,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank bernombor 105122069058 atas mana Mahendran atau menghubunginya di talian 012-3609344.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 3:50 PM