GAMBAR hiasan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


PERUNTUKAN RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur jalur lebar yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019, Jumaat lalu, dijangka digunakan untuk meningkatkan kelajuan Internet di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, peruntukan itu bakal digunakan di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), membabitkan pembangunan infrastruktur jalur lebar di Malaysia.

Beliau berkata, NFCP bukan sahaja fokus di semenanjung Malaysia malah termasuk Sabah dan Sarawak.

"Jika sebelum ini Kementerian menumpukan kepada pembinaan menara pemancar telekomunikasi, tahun depan kita akan fokus kepada fiber optic.

"Oleh itu kita mengubah pendekatan, selain fokuskan liputan, kementerian turut mengejar sasaran mempertingkat kelajuan dan kedua-dua ini akan dibuat serentak," katanya.


EDDIN Syazlee (tengah) menyaksikan Pegawai Malaysia Book of Records, Siti Hajar Johor (dua kiri) menyampaikan sijil Malaysia Book Of Records kepada Pengarah Madu Tiga Sdn Bhd, Datuk Nor Ashikun Ismail (dua kanan) pada Majlis Perasmian 'Bee Man Challenge.' FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perasmian 'Bee Man Challenge-Most Number of Bees On Human Body (Male)' anjuran Madu Tiga Sdn Bhd, di Taman Botanikal Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Beliau berkata, kerja pembinaan terutamanya di kawasan pedalaman bagaimanapun memakan masa selain memerlukan kos yang tinggi kerana keadaan geografinya.

"Kita sasarkan tahun depan; bagaimanapun, bagi Sabah dan Sarawak kedua-dua kawasan ini memerlukan masa," katanya.

Mengulas lanjut Eddin Syazlee berkata, Kementerian bersedia menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan rancangan itu.

"Saya menjangka kerja pembangunan gentian optik ini tidak akan berdepan maslaah apabila kita jalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 6:31 PM