ANTARA produk tidak berdaftar dan dicampur palsu dengan racun sildenafil dan tadalafil yang dirampas dalam serbuan pada 1 November lalu. FOTO Ihsan Kementerian Kesihatan Malaysia
Siti A’isyah Sukaimi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) merampas produk disyaki tidak berdaftar dan dicampur palsu dengan racun sildenafil dan tadalafil bernilai RM300,000 dalam serbuan di lapan premis pengedar dan penjual di Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, serbuan berkenaan dibuat oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan pada 1 November lalu berikutan aduan awam mengenai penjualan produk berkenaan secara dalam talian.

“Hasil analisa kimia yang dijalankan terhadap dua sampel diperolehi di pasaran dikesan mengandungi racun membabitkan produk Kama-Max Booster with Extract Ginseng (racun sildenafil) dan Kopi LPG (racun tadalafil).

“Turut ditemui ialah produk yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM iaitu Gambir Emas Performance Gel dengan Estrak Ginseng, Gambir Emas Performance Gel, G.E Herbs Performance Oil dan Kama-Max Performance Spray,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, semua produk dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

“Di bawah Akta Jualan Dadah 1952, jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu.

“Bagi syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 manakala bagi produk yang dicampur palsu dengan racun, jika sabit kesalahan, individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, KKM menasihatkan orang ramai yang mempunyai stok produk berkenaan untuk menghentikan semua penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.

“Sildenafil dan tadalafil adalah sejenis racun kumpulan B yang hanya boleh digunakan melalui preskripsi oleh pengamal perubatan berdaftar.

“Apabila diambil tanpa nasihat profesional kesihatan, boleh mengakibatkan kesan sampingan serius seperti serangan jantung yang boleh membawa maut.

“Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati sewaktu membeli sebarang produk kesihatan yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk kesihatan dibeli di pasaran adalah produk berdaftar dengan KKM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 6:52 PM