MOHAMAD (kiri) menjual geragau kepada Kamarul Nizam Mohd Khalid, 37, di Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Melaka, hari ini. FOTO Hasan Omar.


PADA sekitar 1980-an, harganya hanya 80 sen satu kilogram (kg) dan ia meningkat kepada antara RM2 hingga RM3 sekg pada 1990-an, tetapi sekarang melonjak kepada antara RM8 hingga RM10 sekg.

Jika sebelum ini anak udang atau ‘udang geragau’ tidak dianggap sebagai antara hidupan laut bernilai, sekarang ia bagaikan ‘emas’ yang menjadi rebutan nelayan dan pihak terbabit dalam industri pembuatan belacan dan cencalok di Melaka.

Pada sekitar 1980-an hingga pertengahan 1990-an, geragau hanya menjadi rebutan usahawan pembuatan belacan dan cencalok, namun kini ia menjadi rebutan ramai berikutan kesukaran untuk mendapatkannya sama ada di pasar atau di pantai yang sering dijadikan lokasi menyungkur, iaitu kegiatan menangkap geragau oleh nelayan dengan menggunakan peralatan ‘sungkur.’

Bagi nelayan, Mohamad Yaakob, 44, geragau atau lebih dikenali dalam kalangan nelayan di Melaka sebagai ‘gagau,’ hidupan laut itu menjadi sumber pendapatan keduanya selepas hasil tangkapan utama iaitu ikan dan udang.

“Untuk menyungkur, tidak tentu masa...bergantung kepada waktu bila ada gagau di gigi pantai kerana ada kalanya gagau naik waktu malam dan ada ketika pada lewat petang atau waktu Subuh.

“Saya turun menyungkur pada 1 pagi hingga sejurus sebelum azan Subuh hari ini dan dapat hasil kira-kira 15kg.

“Alhamdulillah, hari ini saya jual dari 7 pagi hingga 12 tengah hari, sudah hampir habis,” katanya yang ditemui ketika ditemui menjual geragau di pantai Kampung Pantai Rombang, iaitu sebahagian daripada Pantai Puteri yang menganjur sepanjang lima kilometer di Tanjung Kling, Melaka, hari ini.

Bagi setiap longgokan geragau seberat antara 300 hingga 400 gram, Mohamad meletakkan harga RM5 dan bagi setiap sekg, dia mengenakan bayaran antara RM8 hingga RM10 bergantung kepada saiz geragau.

Katanya, geragau lazimnya bermain di gigi pantai pada musim angin monsun barat daya yang disebut dalam kalangan nelayan sebagai angin barat yang bertiup dari Julai hingga awal Februari.

“Jika berasaskan arus dasar laut, geragau lazimnya bermain di gigi pantai ketika arus dasar laut berubah menjadi perlahan dari 12 hingga 18 haribulan dan 27 hingga 4 haribulan dalam kalendar Islam atau kami sebut sebagai bulan Melayu,” katanya.

Mohamad berkata, sungkur diperbuat daripada buluh dan jaringnya bersaiz kecil berfungsi melalui kaedah ditolak oleh nelayan dengan cara berjalan di gigi pantai sama ada mengikut atau melawan arus laut.

Katanya, apabila sungkur ditolak, geragau akan masuk melalui pintu jaring dan terperangkap dalam pundi sungkur yang terletak di bahagian hujung.

Jika jumlah geragau yang berjaya diperangkap dalam sungkur mencapai hingga 100kg, harga akan jatuh hingga RM5 sekg dan jika sebaliknya, boleh mencecah hingga RM10 sekg.

Selain digunakan dalam industri pembuatan belacan dan cencaluk, geragau amat enak jika dibuat cekodok atau jemput-jemput.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 3:52 PM