Nur Aqidah Azizi


WALAUPUN mahkamah belum membuat keputusan terhadap petisyen pembatalan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, UMNO melancarkan jentera pilihan raya kecil (PRK), hari ini sebagai persediaan awal.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera itu ditubuhkan bagi melancarkan gerak kerja parti di peringkat akar umbi untuk menghadapi PRK.

“Walaupun setakat ini belum ada keputusan terhadap petisyen itu, tetapi kita bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

“Memandangkan rata-rata yang hadir pada hari ini adalah akar umbi parti dari Rembau, jadi pelancaran jentera amat sesuai dilakukan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Bersama Pemimpin UMNO di Rantau, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Terdahulu, Zahid ketika berucap pada majlis berkenaan berkata, beliau akan turun padang bersama-sama akar umbi UMNO di Rantau sekiranya PRK Rantau diadakan.

“Saya akan berkampung di Rantau bagi membantu Tok Mat (Mohamad) mempertahankan kerusi DUN Rantau.

“Saya yakin kelahiran semula UMNO akan bermula di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, beliau menjangkakan keputusan petisyen PRK berkenaan akan diputuskan pada minggu hadapan.

“Kita bukan tidak yakin atau mahu mendahului keputusan mahkamah, kalau tiada PRK, syukur Alhamdulillah.

“Tetapi jentera (PRK) ini akan digerakkan untuk kita bangkitkan semula UMNO,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, calon PKR Dr S Streram mengemukakan petisyen supaya satu PRK diadakan serta-merta kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, Dr Streram menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus (responden kedua) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)(responden ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 4:46 PM
AHMAD Zahid bersama Mohamad bersalaman dengan ahli UMNO pada Majlis Perjumpaan Khas bersama ahli UMNO Peringkat Negeri Sembilan di Rantau, hari ini. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN