GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


CALON Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu depan antara enam individu yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), hari ini.

Operasi bermula sejak jam 10 malam hingga 4 pagi itu dilaksanakan Skuad 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis menahan enam lelaki berusia 17 hingga 21 tahun yang dikesan menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya.

“Dalam operasi yang dijalankan sepanjang LLB hingga Jalan Ong Yi How di Butterworth, polis mengesan sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan melulu dan mendatangkan bahaya kepada pengguna lain.

“Berikutan itu, kesemua mereka ditahan untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang pelajar sekolah, tiga penuntut institut pengajian tinggi (IPT) dan selebihnya sudah bekerja.

“Polis turut merampas kesemua motosikal untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang memandu dalam pengaruh alkohol dalam Op Mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 5:14 PM