PENUNTUT wanita UMS terselamat selepas terjatuh di atas bumbung di tingkat tujuh dari koridor tingkat 10 bangunan kolej kediaman wanita dekat pusat beli-belah 1Borneo, Kota Kinabalu. FOTO ihsan polis.
Junaidi Ladjana


SEORANG penuntut wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) patah kedua-dua kaki selepas terjatuh di atas bumbung di tingkat tujuh dari koridor tingkat 10 bangunan kolej kediaman wanita universiti berkenaan, dekat pusat beli-belah 1Borneo, Kota Kinabalu, hari ini.

Mangsa yang berusia 21 tahun disyaki patah kedua-dua kakinya manakala kecederaan lain belum dapat dipastikan dan kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKK), Likas.

Mangsa adalah penuntut tahun tiga Ijazah Doktor Perubatan di UMS.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa ditemani rakannya menuju ke koridor di tingkat 10 untuk mengambil tuala mandi yang tersidai di koridor lif.

“Menurut rakan mangsa, pada masa itu mangsa dikatakan cuba untuk memanjat koridor bagi mengambil tualanya yang berada sedikit ke bawah kerana terjatuh dipercayai ditiup angin.

“Ketika mangsa sedang cuba memanjat, tiba-tiba dia terjatuh dari koridor di tingkat 10 dan terbaring di bumbung bangunan kolej di tingkat tujuh.

“Rakan mangsa kemudian menjerit meminta tolong dan mangsa dikatakan sedar dan melambai tangannya meminta pertolongan,” katanya ketika dihubungi.

Habibi berkata, beberapa minit kemudian ambulans tiba dan petugas perubata memberi rawatan awal sebelum menghantar mangsa ke HWKK, Likas.

“Hasil soal siasat, mangsa mengatakan tangannya tergelincir ketika mengambil tuala sebelum terjatuh.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan mengatakan mangsa disyaki patah kaki kiri dan kanan. Kecederaan lain belum diketahui dan rawatan masih berjalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:06 PM