ANGGOTA PGA merampas lima motosikal yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Indonesia dalam operasi dilakukan di ladang sawit Tong Nibong, Serian, malam tadi. FOTO Melvin Joni.


PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas lima motosikal curi yang dipercayai cuba diseludup masuk ke Indonesia dalam serbuan di ladang sawit di Tong Nibong, Serian, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, Superintendan Rosdi Inai berkata, semua motosikal berkenaan ditemui disembunyikan di lokasi terpencil di ladang sawit berkenaan yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia, pada 10 malam.

Beliau berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat risikan dan intipan selama lima jam di lokasi berkenaan.

“Bagaimanapun, anggota bertugas hanya menemui motosikal berkenaan dan tiada sebarang tangkapan dilakukan.

“Kami tidak menolak kemungkinan lokasi itu dijadikan pusat transit motosikal berkenaan sementara menunggu ‘giliran’ untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan tikus,” katanya pada sidang media di Serian, hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati sebuah motosikal berkenaan memiliki rekod kecurian manakala empat lagi didapati nombor casisnya sudah dirosakkan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ia sebahagian daripada modus operandi sindiket bagi mengelak kegiatan haram mereka dikesan.

“Semua motosikal dirampas itu dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dan sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:49 PM