LAPAN asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong ditahan ketika cuba masuk sempadan negara di Pos 4 malam tadi. FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


TINDAKAN lelaki cuba menyeludup sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini gagal selepas kegiatan mereka dikesan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos 4 di Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Panglima 6 Briged, Brig Jen Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, lelaki terbabit bersama tujuh PATI ditahan selepas kumpulan ronda dari Batalion Kedua Rejimen Sempadan (2RS) mengesan pergerakan mereka di kawasan sempadan dalam keadaan mencurigakan pada 11 malam.

Katanya, pasukan diketuai Koperal Zamri Salim kemudian melakukan kepungan dan berjaya menahan kesemua warga Myanmar terbabit.

“Ketika serbuan, lelaki dipercayai tekong berusia 27 tahun sedang menunggang motosikal, manakala tujuh PATI termasuk dua wanita berusia antara 19 hingga 27 tahun berjalan kaki.

“Tekong terbabit dipercayai mengambil upah dari sindiket untuk menyeludup PATI itu masuk ke negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, kesemua mereka gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah menyebabkan mereka ditahan dan motosikal milik lelaki terbabit turut dirampas.

“Kita juga menemui wang tunai RM1,072 dan lima telefon bimbit.

“Kesemua PATI dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 12:06 PM