LIMA individu yang melakukan aksi berbahaya di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LIMA penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya termasuk ’superman’ di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, malam kelmarin mengundang padah apabila mereka ditahan polis.

Operasi bermula 11 malam hingga 3 pagi itu dijalankan Unit Risikan dan Operasi (RO) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod.

Lima penunggang motosikal berusia 19 hingga 32 tahun itu ditahan kerana didapati menunggang secara melulu dan berbahaya di kawasan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, mereka yang ditahan didapati berlumba sesama sendiri dengan kelajuan tinggi sambil melakukan aksi bahaya.

“Ketika operasi dijalankan, mereka didapati menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya sebelum berjaya ditahan anggota polis trafik yang sudah menyerbu lokasi berkenaan.

“Selain itu, mereka turut didapati mengubah suai motosikal dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.

Zulkefly berkata, lima individu yang ditahan itu kemudian dibawa ke Balai Polis Tun HS Lee untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan mendapati tiga daripada lelaki yang ditahan itu tidak bekerja manakala dua lagi bekerja sendiri.

“Semua mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 2:22 PM